MKT Umno calon Ismail Sabri PM PRU15

KUALA LUMPUR: Umno mencadangkan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung, Datuk Ahmad Maslan, memaklumkan perkara itu selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini.

“MKT Umno sebulat suara mencadangkan agar YAB Ismail menjadi calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15 akan datang,” katanya.

Ahmad memaklumkan mesyuarat MKT dipengerusikan Presiden Datuk Seri Umno Ahmad Zahid Hamidi menetapkan memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini tidak diteruskan.

Beliau berkata, Umno juga menetapkan akta anti-lompat parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan.

“Tanpa berkompromi dengan gesaan pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk mengubah maksudnya kepada bentuk perundangan lain.

“Umno berpendirian akta-anti lompat parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya.