Mesyuarat akan putuskan penyertaan KDM dalam GRS – Yakub

KOTA KINABALU: Penyertaan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diputuskan pada mesyuarat gabungan itu dalam tempoh terdekat.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, pada mesyuarat itu keputusan akan dibuat sama ada bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony diterima menyertai GRS.

“Di Sabah, kita mempunyai kerjasama antara parti-parti komponen dalam GRS bersama-sama dengan BN jadi, kita akan menggunakan meja mesyuarat untuk membuat keputusan.

“Kita serahkan kepada pemimpin-pemimpin utama parti untuk berbincang sama ada menerima atau tidak, ia terpulang kepada keputusan mesyuarat,” katanya selepas majlis pelancaran digital IoT Sandbox hari ini.

Mengenai pendaftaran GRS, Yakub berkata, BN/UMNO Sabah mendukung pendaftaran GRS demi kestabilan politik serta kemakmuran Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai merangkap Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah itu berkata, pendaftaran GRS bukan hal yang perlu dibincangkan oleh BN kerana GRS adalah komponen yang berlainan.

Pada 21 Februari lalu, semasa mengumumkan nama partinya, Peter menyatakan parti berbilang kaum itu akan memohon menyertai GRS sebaik sahaja gabungan parti politik itu didaftarkan secara rasmi.

Malah, Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor melihat hasrat KDM mahu menyertai GRS akan membantu menstabilkan lagi politik Sabah.

Walau bagaimanapun, perkara itu masih perlu dibincangkan bersama dengan parti komponen lain dalam GRS.