Mayat lelaki OKU ditemui dalam parit berhampiran SK Mawar Sandakan

SANDAKAN : Mayat seorang lelaki kurang upaya ditemui di dalam parit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Mawar, Batu 5 di sini lewat petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut lebih kurang pukul 6.30 petang tadi.

Susulan itu, sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Alan Ayuh bersama kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Maklumat kejadian melaporkan pihaknya menerima panggilan kecemasan dari PDRM Sandakan yang memohon khidmat bantuan membawa keluar mayat yang berada di dalam parit.

Pasukan bomba bertindak mengangkat mayat tersebut menggunakan tali dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui, mangsa dikenali sebagai Ting Khiing Ching, 34, dan tinggal di Taman Mawar.

Selain itu, turut ditemukan adalah kad Orang Kelainan Upaya (OKU) miliknya yang merekodkan mangsa mempunyai kategori ketidakupayaan mental.

Operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 7.12 malam.