Mayat dua remaja hilang di laut Kiamsam Labuan ketika memancing ditemukan

LABUAN: Mayat dua remaja yang dilaporkan hilang ketika memancing di laut Kiamsam pada Ahad lepas ditemukan tidak jauh daripada tempat kejadian, semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata, mayat kedua dua mangsa yang dikenali sebagai Yasin Johnar, 20, dan Mohammad Shah Nadzim, 19, dijumpai ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 5.20 petang.

“Kedua-dua mayat telah dihantar ke hospital Nukleus Labuan untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mohd Hamizi berkata pihaknya telah menerima maklumat mengenai kehilangan dua orang remaja lelaki yang dipercayai keluar memancing menggunakan sampan sekitar jam 6 pagi pada Ahad di Pantai Kiamsam.

Beliau berkata operasi SAR melibatkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Labuan, Polis, Bomba dan Penyelamat serta orang awam.

GAMBAR: MAYAT…. Mayat salah seorang mangsa yang ditemukan diserahkan kepada polis untuk tidakan selanjut