MAIWP hargai peranan media dalam bantu perkasa dan fungsi

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan  sentiasa menghargai peranan pengamal media dalam membantu memperkasakan peranan dan fungsi MAIWP.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya berkata,  pengamal media  di Labuan khususnya perlu dihargai kerana  sentiasa membantu MAIWP dalam menyebarluaskan peranan MAIWP kepada masyarakat.

Beliau berkata, pengamal media di Labuan telah menjadi tunjang kepada MAIWP yang bukan sahaja dalam menyebarkan peranan MAIWP ketika mengagihkan bantuan zakat  tetapi juga turut membantu usaha  MAIWP  untuk mencapai sasaran sifar miskin tegar terhadap golongan asnaf.

“Justeru itu MAIWP berharap hubungan yang baik bersama pengamal media di Labuan  dapat  diteruskan supaya apa yang dilakukan oleh MAIWP dapat disebarluaskan dengan maklumat yang tepat  kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi Media bersama MAIWP yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat lepas.

Pada majlis tersebut,  penggamal media yang terdiri dari ahli ahli Persatuan Penggiat Media Labuan  menerima sijil penghargaan  dan cenderahati.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan,l Azman Sipan,  Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Wilayah Persekutuan Labuan Fauziah Sidek  Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan Ustaz Md Fadzli Md Saad dan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan Jainudin Djimin.