KUALA LUMPUR : Satu model ladang tanah rendah berserta Pusat Latihan Inkubator yang pertama di Malaysia akan dibina di kawasan Projek Pertanian Moden Kluang, Johor.
Ia bakal dilaksanakan menerusi kolabrasi antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian Malaysia dengan lima syarikat iaitu ABS Greentech Sdn. Bhd., Lentiz Education Group, Priva Horticulture B.V., Powerplants Australia Pty Ltd. dan Rijk Zwaan.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kolabrasi ini dimetrai hari ini di sini.
Model ladang tanah rendah akan digunakan untuk menjalankan aktiviti pertanian moden dan latihan yang berasaskan penggunaan kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM).
IPM juga merupakan salah satu kriteria dalam pensijilan amalan pertanian baik (myGAP) untuk menjamin kualiti dan keselamatan produk pertanian yang dihasilkan.
Kepakaran lima syarikat ini dapat membantu meningkatkan kualiti hasil pertanian, mengurangkan penggunaan racun sintetik yang berlebihan dan membuka lebih banyak peluang pasaran dalam dan luar negara.
Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata MoU ini merupakan antara usaha berterusan MAFI dalam penambahbaikan program pengurusan perosak tanaman yang merupakan
salah satu fokus utama MAFI dalam memastikan pengeluaran produk tanaman negara memenuhi visi keselamatan makanan dan sekuriti makanan seperti yang dihasratkan
dalam Dasar Agromakanan Negara, 2021-2030.
“Melalui kerjasama ini, usahawan khususnya petani muda akan diberi latihan jangka pendek dalam pengurusan tanaman terutamanya melibatkan penggunaan teknologi
terkini bagi aktiviti agronomi dan program pengurusan perosak yang lebih mesra alam, menjimatkan dan selamat untuk biodiversiti kita,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Berdasarkan kepada maklumat terkini daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), perosak dan penyakit tanaman telah mengakibatkan kerugian ketara hasil tanaman makanan sebanyak 20 hingga 40 peratus dan turut mencatatkan kerugian dalam perdagangan produk pertanian dunia melebihi 220 bilion USD atau bersamaan dengan hampir RM1 trilion setahun.
Di Malaysia, pelbagai masalah serangan perosak dan penyakit invasif telah direkodkan saban tahun. Sejak lima tahun kebelakangan ini, tanaman di Malaysia telah diserang oleh pelbagai jenis perosak invasif antaranya kumbang merah palma pada tanaman kelapa, penyakit Hawar Bulir Bakteria pada tanaman padi dan yang terkini ulat ratus Fall Armyworm (FAW) pada tanaman jagung.
Ketiga-tiga perosak ini telah menyebabkan kerugian hampir RM10 bilion kepada bukan sahaja hasil tanaman dan perdagangan, malah mengakibatkan kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM5 juta untuk aktiviti kawalan dan pemusnahan haiwan perosak di seluruh negara dalam tempoh 5 tahun tersebut.
Pada masa yang sama, perosak tanaman sedia ada seperti thrips, lalat buah, scale insects, mites dan leafminer telah memberi kesan ekonomik kepada tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan negara terutamanya kepada produk yang berpotensi tinggi untuk dieksport.
Hadir sama, Timbalan Menteri I MAFI Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia Datuk Zahimi Hassan.