MAFI beri sokongan kepada halatuju Johor menjadi Bakul Makanan Malaysia

SEGAMAT: Selaras dengan halatuju pertanian Johor ingin menjadi Bakul Makanan (Food Basket) Malaysia dan membangunkan industri agromakanan yang kompetitif, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan sentiasa menyokong dan membantu industri agromakanan di negeri ini untuk kekal mampan dan berdaya saing.

Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata dalam hal ini, Jabatan Pertanian Malaysia juga telah menyalurkan RM6 juta untuk Negeri Johor melaksanakan beberapa program.

Katanya antara program tersebut adalah Pembangunan Tanaman BuahBuahan Jangka Panjang, Pembangunan Tanaman Buah-Buahan Jangka Pendek, Pembangunan Tanaman Sayuran, Pembangunan Pertanian Komuniti, Pembangunan Industri Tanaman Kelapa, Naiktaraf Agrofood Park (AFP), Pembangunan Agrofood Park (AFP) yang baharu, Projek Peningkatan Pendapatan Pesawah Luar Jelapang (B40), Projek Pembangunan Industri Cendawan, Pembangunan Industri Kopi, Pembangunan Tanaman Makanan Ternakan serta Naiktaraf Kompleks Pengembangan Agro-Tekno Negara.

“MAFI juga memperuntukkan beberapa insentif di bawah Projek Pembangunan Persekutuan melalui Jabatan dan Agensi di bawahnya bagi Daerah Segamat, Johor.

“Antaranya Pejabat Pertanian Daerah Segamat telah diperuntukan insentif berjumlah RM456,178 melibatkan 168 orang penerima meliputi enam projek. Selain itu, seorang usahawan FAMA Daerah Segamat juga menerima Insentif Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) bernilai RM20,000,” katanya menerusi satu kenyataan MAFI bagi Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022) di sini, hari ini.

Hadir sama sebagai panel dialog anjuran Jabatan Pertanian Malaysia itu adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia Datuk Zahimi Hassan.

Ronald dalam Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 (DIA2022).

Turut disampaikan pada dialog itu adalah Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bag subsektor tanaman kepada 18 orang usahawan tani Daerah Segamat dan lesen peralatan menangkap ikan kepada 10 orang nelayan darat.

Sumbangan MAFI Prihatin juga disampaikan berupa bakul makanan dan sumbangan daripada pihak industri bernilai RM52,500 kepada 150 orang mangsa yang terjejas akibat banjir di Daerah Segamat.

Ronald berkata, Johor merupakan negeri pengeluar utama bagi buah-buahan dan sayur-sayuran yang bukan sahaja untuk kegunaan domestik, malahan turut dieksport ke Singapura.

Mengenai DIA2022 itu, Ronald berkata program ini bertujuan untuk mendapatkan input, idea, pandangan dan cadangan daripada pemain subsektor tanaman melalui sesi libat urus secara langsung bersama pihak pengurusan tertinggi MAFI.

Katanya jelajah DIA2022 merupakan program secara bersasar yang telah dirancang oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan tema ‘Pemodenan dan Produktiviti Menjamin Sekuriti Makanan’.

Ronald berkata sesi dialog sebegini diadakan secara bersiri dan berterusan di peringkat negeri-negeri untuk terus memperkukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara menerusi idea, pandangan dan cadangan para pemain industri dalam memacu hala tuju sektor agromakanan khususnya berkaitan sekuriti makanan supaya seiring dengan keperluan semasa.

“Cadangan dan input daripada pemain industri diperhalusi dalam menambah baik dasar dan pelan tindakan seiring dengan peranan Kementerian ini untuk mentransformasikan sektor pertanian ke arah yang lebih moden, dinamik dan berdaya saing sekaligus mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasar,” jelas beliau.