MAFFI Sabah rancang lancar konsep ‘Kebun Dapur’ awal tahun depan

KOTA BELUD: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah merancang untuk melancarkan konsep Kebun Dapur pada awal tahun depan sebagai usaha memperluas penglibatan masyarakat luar bandar dalam pertanian berskala kecil.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada penduduk kampung bercucuk tanam di kawasan rumah sendiri dengan kos rendah, sekali gus membantu menambah sumber makanan dan pendapatan harian.

Menurut beliau, konsep Kebun Dapur dirangka sebagai pendekatan praktikal untuk menyantuni seramai mungkin masyarakat, khususnya petani, pekebun kecil, nelayan serta usahawan desa yang bergantung kepada sektor pertanian.

Katanya, MAFFI kini sedang memperhalusi pelaksanaan konsep berkenaan melalui perbincangan bersama Setiausaha Tetap kementerian bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan di peringkat akar umbi.

Jamawi berkata sejak hari pertama beliau dilantik sebagai menteri, keutamaan beliau adalah membantu komuniti luar bandar dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat kampung yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.

Beliau turut memuji penglibatan agensi pertanian negeri serta penganjuran Program PMD dan Mini Karnival Usahawan Desa yang bukan sahaja menyediakan bantuan peralatan, malah sokongan berterusan termasuk bimbingan pemasaran secara digital kepada usahawan luar bandar.