LAHAD DATU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU, Abdul Hakim Gulam Hassan menyifatkan tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 ( MA63) sudah mendapat kelulusan majoriti di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, selaku Perdana Menteri sebelum ini banyak perkara MA63 tersebut belum dapat dilaksanakan berikutan memerlukan masa untuk direalisasikan.
“Rakyat Sabah sangat mengharapkan agar tuntutan MA63 yang bukan sekadar diluluskan malah dapat dilaksanakan secara umum.
“Semua rakyat Sabah sangat menantikan tindakan dapat dilakukan secara drastik agar MA63 dapat dipenuhi di dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas ditemui pada Majlis Ibadah Korban di Kampung Bikang di sini semalam.
Abdul Hakim yang juga Ketua Bahagian BERSATU Lahad Datu berkata, jika MA63 dilaksanakan sudah tentu memberi impak positif dalam pelbagai aspek kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
“MA63 perlu dikekalkan dan dilaksanakan kerana Perjanjian berusia 60 tahun Itu adalah asas kepada pembentukan Malaysia,katanya.
“Rakyat Sabah dan Sarawak perlu bersabar sambil terus menyokong kerajaan,” katanya.
Menurutnya, perlaksanaan perjanjian ini akan mendatangkan kebaikan khususnya kepada rakyat dikedua-dua negeri berkenaan.