Lokasi mewujudkan ‘Jalan Seni’ dikenalpasti tarik kehadiran pelancong – Hajiji

KOTA KINABALU: Lokasi sesuai sedang dikenalpasti bagi mewujudkan  ‘Jalan Seni’ sebagai usaha menarik kehadiran pelancong sekali gus meningkatkan aktiviti seni budaya di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diarah untuk mengenalpasti kawasan yang mempunyai unsur bersejarah bagi menjalankan aktiviti seni budaya dalam usaha membantu artis tempatan.

“Kita harap DBKK akan mengambil tindakan segera kerana ini akan menjadi tarikan pelancong baharu kepada negeri ini.

“Dalam erti kata lain, kita mesti memastikan budaya dan kesenian dipelihara dan dibangunkan sejajar dengan sektor lain,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, kepelbagaian budaya tempatan perlu dimaksimumkan untuk ditonjolkan sebagai cara memacu industri pelancongan yang mampan serta berdaya tahan selaras dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan Negeri mahu kepelbagaian warisan budaya terus diperkasa agar tidak terpinggir daripada arus pemodenan dan teknologi masa kini.

“Kita tidak mahu melihat budaya dan seni kita sendiri terhakis oleh arus pemodenan. Lebih membimbangkan kita akan kehilangan warisan budaya kerana tiada pemeliharaan atau kesinambungan,” katanya.

Hajiji berkata, Music Rights Sabah Berhad (MRS), sebuah badan pelesenan muzik diberi kuasa kerajaan ditubuhkan pada Januari tahun ini untuk menjaga hak dan kebajikan artis tempatan di Sabah.

“Kerajaan berharap program ini dapat membantu dalam mempromosikan khazanah warisan seni dan budaya di negeri ini, serta menemui lebih banyak budaya pelbagai etnik untuk dipertontonkan kepada dunia,” katanya.