KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggariskan lima tema dalam merencanakan proses pemulihan Malaysia daripada pandemik COVID-19, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, tema pertama merangkumi pengukuhan sistem penjagaan kesihatan awam dan industri berkaitan bagi meningkatkan kesediaan untuk keluar dari wabak kepada tahap endemik, seterusnya persiapan untuk menghadapi wabak berpotensi pada masa depan.
Katanya, MPN juga perlu melihat tahap kesejahteraan emosi individu, mereka yang dijangkiti COVID-19 dan pihak yang mengalami kerugian teruk.
“Tema kedua, MPN perlu mengenalpasti sektor ekonomi yang memerlukan perhatian sepenuhnya. Kita mesti membantu sektor berkaitan kembali bangkit dengan memberi tumpuan kepada pelancongan, pendidikan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh jangka pendek hingga jangka sederhana.
“Kita juga perlu mengenal pasti dan memberi insentif insentif yang sesuai untuk perniagaan yang berpotensi mencatat pertumbuhan dalam jangka masa sederhana dan panjang. Kita juga mesti memperkukuhkan sektor-sektor strategik utama yang menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan global.
“Ini akan secara langsung meningkatkan daya saing negara secara keseluruhan dan lebih penting lagi, peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat Malaysia terutama golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutup Sidang Kemuncak Pemulihan Negara dengan tema ‘Winning the War against COVID – The Road to Recovery’, hari ini.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi MPN juga akan mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mampan untuk pertumbuhan inklusif yang akan merancakkan pemulihan negara.
“Dalam tema ketiga, ia turut termasuk strategi untuk pembangunan infrastruktur fizikal dan digital selain melonjakkan komitmen terhadap dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Ini akan membantu memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan kepada pelaburan langsung asing dan domestik.
“Tema keempat pula membabitkan usaha memperluaskan pelaksanaan digitalisasi dalam perniagaan dan perkhidmatan awam selain menyediakan infrastruktur perlu yang akan menggalakkan penggunaan teknologi digital.
“Semua infrastruktur ini perlu sebagai persediaan menghadapi Era Digital dan membantu memudah cara urusan individu dan perniagaan beroperasi semasa pandemik,” katanya.
Bagi tema kelima, beliau menjelaskan, MPN perlu memastikan pertumbuhan yang dipupuk daripada proses pemulihan itu diagihkan secara saksama, bagi mengelakkan jurang pendapatan melebar dan memburukkan hubungan antara kaum di negara ini.
“Memandangkan pandemik ini memberi kesan yang buruk kepada kehidupan, jaringan keselamatan sosial perlu diperkukuhkan supaya kita dapat terus membina kehidupan, juga mengembalikan nilai dan maruah setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Muhyiddin berkata, tema yang digariskan itu tidak begitu terperinci, justeru perkongsian idea bersama pemimpin industri, penggerak masyarakat sivil, ahli politik, pemimpin masyarakat dan golongan muda diperlukan dalam merangka pemulihan yang sejajar dengan kepentingan negara.
“Di samping itu, cadangan dan input dasar pemulihan yang diterima melalui sesi libat urus dengan pemegang taruh akan juga dimasukkan ke dalam dasar pembangunan utama negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030),” katanya.