Lemas Semasa Mengambil Pukat ditemui

TENOM: Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas semasa mengambil pukat di Sungai Padas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tomani pada Sabtu ditemukan meninggal dunia, pagi tadi.

Mayat mangsa dikenali sebagai Zali Tun, 25, ditemukan oleh penduduk kampung yang turut serta membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa ditemukan kira-kira 1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Operasi SAR diaktifkan pada Sabtu dimana pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom dengan keanggotaan seramai lima orang diketuai PBK II KUP Saony Saimin serta dibantu empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mamaitom digerakkan ke lokasi kejadian.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi SAR kemudiannya ditamatkan pada jam 8.58 pagi.