Lelaki warga Kazakhstan dikhuatiri lemas di Tuaran

TUARAN : Seorang lelaki warganegara Kazakhstan hilang dan dikhuatiri lemas ketika sedang menjalankan aktiviti mandi-manda di kawasan pantai di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu menerusi talian MERS999 pada jam 8.19 pagi.

Katanya, pasukan bomba bersama tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Norkizan Durudin dari BBP Tuaran bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Lelaki warganegara Kazakhstan telah dikhuatiri lemas ketika sedang menjalankan aktiviti mandi-manda di pantai,” katanya di sini hari ini.

Mohammad Nor berkata, setakat ini operasi mencari serta menyelamat (SAR) masih dijalankan oleh agensi penyelamat.