Lelaki tempatan ditahan bersama 102 kilogram daun ketum di Tenom

TENOM : Polis menahan seorang lelaki serta merampas102.7 kilogram daun ketum dalam Ops Bersepadu Sekatan Jalanraya di Jalan Tenom-keningau, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tenom, DSP Hasan Majid berkata, kira-kira jam 11 pagi, polis telah menahan sebuah kenderaan yang dinaiki seorang lelaki rakyat tempatan berusia 41 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan tersebut telah menjumpai lapan guni berisi daun yang disyaki daun ketum.

“Turut dijumpai bersama individu tersebut ialah sejumlah dadah jenis syabu serta peralatan yang disyaki digunakan sebagai alat untuk menghisap dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasan berkata, dalam usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan dan kesalahan-kesalahan yang melibatkan undang-undang jalan raya.

Katanya Ops Bersepadu Sekatan Jalanraya ini telah dilaksanakan, ia melibatkan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan serta Penguatkuasaan Trafik IPD Tenom.

“Polis akan sentiasa memantau dan tidak akan berkompromi kepada sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang,” jelas Hasan.

Menurutnya, orang awam dialu-alukan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di daerah ini melalui talian (087-736211).