RANAU : Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai melarikan laci kaunter mengandungi wang tunai RM3,000 di sebuah premis di Pekan Kundasang, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Supt Mursalin Mahmud berkata, pihaknya berjaya mengesan suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian kira-kira jam 7.50 malam.
Katanya, berdasarkan rakaman terbabit suspek lelaki memasuki premis dengan berpura-pura membeli barang.
“Ketika pengadu merupakan pemilik premis ke bahagian belakang, suspek bertindak mencuri laci kaunter warna putih mengandungi wang sebanyak tunai RM3,000.
“Suspek kemudian melarikan diri melalui pintu hadapan kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Mursalin berkata, hasil siasatan mendapati suspek lelaki itu memakai topi, baju T dan seluar panjang hitam, selain menutup mukanya dengan kain warna biru bagi mengelak pengecaman.
“Polis sudah mengambil beberapa tindakan segera termasuk merekodkan percakapan pengadu mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah melakukan siasatan forensik di lokasi kejadian.
“Selain itu, cap jari suspek dihantar ke Bahagian D2 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk analisa,” jelas Mursalin.
Menurutnya, operasi bagi mengesan serta memberkas suspek giat dijalankan oleh pasukan penyiasat.
“Orang ramai mempunyai diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222 atau melaporkan ke balai polis berhampiran.
“Polis menasihatkan pemilik perniagaan supaya meningkatkan langkah keselamatan premis dengan pemasangan CCTV, sistem penggera serta pengawasan berkala bagi mengelak kejadian seumpama ini daripada berulang,” katanya.