Lelaki maut, van terbabas di gaung di Jalan Keningau – Kimanis

PAPAR : Seorang lelaki maut selepas van dinaiki mereka terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Batu 23, Jalan Keningau- Kimanis di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Mohd Johainin Ruslan berkata, mangsa dikenal pasti berumur 32 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, terdapat juga seorang rakan mangsa berada di dalam van terbabit, turut mengalami kecederaan dalam kejadian jam 6.50 pagi.

“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.55 pagi tadi sekali gus kemudiannya bergegar ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis van dipercayai tebabas sendiri sekali gus terjatuh di gaung sedalam 20 kaki dari jalan raya,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Johainin berkata, pihaknya mendapati ada dua orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas (Rescue Tools).

“Mangsa meninggal dunia seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Seorang lagi mangsa cedera berumur 23 tahun diberi rawatan awal oleh EMRS dan diserahkan kepada ambulans KKM untuk di hantar ke Hospital Papar bagi mendapatkan rawatan lanjut,” jelas Mohd Johainin.

Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kemalangan, operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 9.30 pagi pagi.