Lebih RM12.41 juta peruntukan diluluskan ke kawasan pembangkang Sabah

KOTA KINABALU: Lebih RM12.41 juta peruntukan diluluskan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kawasan pembangkang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Jasni Daya berkata ia melibatkan 354 projek kecil diluluskan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan daripada jumlah itu, lebih RM11.17 juta telah disalurkan dan dalam proses penyaluran peruntukan, manakala selebihnya dalam proses mendapatkan maklumat lanjut.

“Bagi mempercepatkan proses penyaluran peruntukan khas ini daripada pihak Kementerian Kewangan, diharapkan pihak UPPM yang terlibat dapat mengemukakan permohonan melalui pihak berkuasa tempatan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Alias Sani (Warisan-Sekong) yang ingin tahu berapakah jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri kepada UPPM di kawasan-kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dan adakah ia sudah diagihkan.

Jasni berkata permohonan bagi mendapatkan peruntukan berkenaan perlu dikemukakan kepada Ketua Menteri, justeru peruntukan tersebut akan disalurkan setelah mendapat kelulusan Ketua Menteri dan tertakluk kepada prosedur kewangan sedia ada.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Hendrus Anding ketika menjawab soalan Tan Lee Fatt (DAP-Likas) berkata Jabatan Pertanian Sabah menggalakkan industri pengeluaran baja tempatan dan mengurangkan penggunaan racun kimia melalui beberapa langkah.

“Ini termasuk menggalakkan petani mengamalkan Pengurusan Perosak Bersepadu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap racun kimia dan menggalakkan serta mempromosi penggunaan input pertanian berasaskan mikroorganisma berfaedah seperti Plant Booster, Growth Enhancer dan Bokashi (baja kompos yang dihasilkan melalui proses fermentasi atau peragian bahan organik).

“Selain itu kita juga menggalakkan penggunaan bahan sisa tanaman seperti jerami padi untuk dijadikan baja kompos,” katanya mengulas pertanyaan Tan berkenaan rancangan kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan import makanan haiwan, baja tanaman dan racun serangga berasaskan kimia.

Terdahulu dalam persidangan itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) bangun bertanya kepada Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya tentang permohonan untuk membawa usul mengenai ancaman keselamatan kumpulan Sulu yang telah dikemukakan kembali pada Isnin lepas.

Kadzim berkata surat itu memohon untuk membentangkan semula usul yang telah ditolak pada hari yang sama, justeru berdasarkan Peraturan 23A (2) mana-mana usul yang telah ditolak, tidak boleh dikemukakan dan dibacakan dalam majlis mesyuarat, justeru permohonan itu ditolak.

Pada Isnin lepas, Kadzim menolak usul dibawa Mohd Shafie itu berdasarkan Peraturan 23(2) yang menghendaki permohonan membawa mana-mana usul perlu dibuat dalam tempoh 24 jam sebelum bermulanya persidangan itu.

— BERNAMA