LABUAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa berkata, Laporan Rancangan Struktur Labuan 2040 akan menjadi garis panduan melibatkan pelbagai dasar pembangunan berkaitan perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial di Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berkata sebelum laporan ini digazetkan, pandangan dan penglibatan setiap rakyat amat diperlukan bah membolehkan rancangan tersebut menjadi lebih komprehensif dan mampan.
“Justeru itu Perbadanan Labuan dengan kerjasama PLANMalaysia akan mengadakan sekurang-kurangnya sembilan program ‘outreach’ yang melibatkan pemegang pemegang taruh bagi menerangankan Rancangan Struktur Labuan 2040 bagi mengumpul sebanyak mungkin pandangan dan hasrat rakyat.
“Saya percaya dengan pendekatan ‘bottom-up’ ini akan membolehkan Labuan dibangunkan mengikut apa yang diperlukan dan diinginkan oleh rakyat Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Publisiti dan Peryertaan Awam Laporan Struktur Labuan 2024 di Perkarangan Taman Damai, Layang Layangan di sini, semalam.
Dr Zaliha berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk menjadikan Labuan sebagai sebuah hab ekonomi, pelancongan dan pendidikan, namun ia tidak akan tercapai sekiranya perkara asas seperti air, elektrik dan ketersambungan tidak dapat diselesaikan sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau telahpun memaklumkan kepada Bahagian Bekalan Air Labuan untuk mempercepatkan projek projek pembaikan, baik pulih infrastruktur dan penggantian paip air supaya isu bekalan air dapat diselesaikan seberapa segera.
Katanya, sebanyak tiga projek penggantian paip sepanjang 70 kilometer dengan peruntukan RM108 juta akan siap selewat – lewatnya pada suku tahun pertama 2025.
“Saya juga telah mengarahkan Pelancongan Malaysia Labuan dan beberapa pemeggang taruh termasuk komuniti perniagaan untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang akan diketuai oleh Perbadanan Labuan sebagai usaha merancakkan semula industri pelancongan Labuan,” kata Dr Zaliha.
Gambar:DR ZALIHA ketika melancarkan Program Publisiti dan Peryertaan Awam Laporan Struktur Labuan 2040 di Perkarangan Taman Damai, Layang Layangan di sini, pada Sabtu.