KOTA KINABALU : Faktor utama yang menyumbang kepada pemasalahan bekalan elektrik ketika ini bukan sahaja disebabkan oleh kekurangan kapasiti penjanaan, tetapi ianya juga atas sebab kenaikan beban pengguna daripada lazimnya 900 Megawatt (MW) ke 1,100 MW dalam tempoh setahun, lanjutan dari pembangunan ekonomi yang rancak di Negeri Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata oleh yang demikian, selari dengan Pelan Induk Halatuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 atau SE-RAMP 2040) yang telah dilancarkan pada 19 September 2023, maka fokus utama Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek dilaksanakan secara fast track bagi mencapai jidar simpanan penjanaan ke tahap kukuh iaitu 30 peratus secepat mungkin.
Katanya pelan tersebut adalah penyewaan set-set janakuasa berasaskan bahan api diesel sehingga 100MW secara berperingkat iaitu 40MW pada Disember 2023 dan 60 lMW pada Mac 2024.
Menurutnya pelanjutan operasi loji janakuasa berasaskan bahan api diesel sedia ada di Tawau sebanyak 70MW.
“Penyiapan projek Solar Berskala Besar sebanyak 62MW pada 2024, cadangan pemasangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) sebanyak 100MW yang dijadualkan untuk penyiapan pada 2026 akan diawalkan untuk sasaran penyiapan pada 2024.
“Penyewaan loji berasaskan gas 100MW bagi tempoh interim sehingga loji gas tetap 100MW siap dibina.
“Pengoperasian sumber-sumber Tenaga Hijau melalui program Tarif Galakan (Feed in Tariff ) dari sumber mini hidro berkapasiti 31.6MW dan biogas berkapasiti 5.6MW pada 2024.
“Penambahan projek Solar Berskala Besar sebanyak 100MW pada 2025,” katanya Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri perbahasan Rang undang-Undang Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, di sini hari ini.
Hajiji berkata, di samping itu untuk memastikan kemampanan kapasiti penjanaan yang mencukupi, Pelan Pembangunan Penjanaan jangka sederhana dan panjang akan juga dilaksanakan yang antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400MW projek Solar Berskala Besar berjumlah 100MW dan lain-lain projek penjanaan.
Beliau berkata di samping itu terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung-tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Pautan Selatan.
“Ini akan mengukuhkan lagi kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya daripada pengguna-pengguna industri di masa akan datang,” jelas Hajiji.