Kumpulan pertama Felo SMJ terima surat pelantikan daripada KM Sabah

KOTA KINABALU: Kumpulan pertama 24 peserta program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) menerima surat pelantikan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu di sini pada Rabu.

Mereka dipilih untuk program bimbingan dan pembelajaran langsung selama enam bulan di 12 kementerian di negeri ini.

Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Negeri, program itu akan dijalankan di bawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS).

Di bawah program itu, peserta Felo SMJ akan menerima elaun bulanan sepanjang program berlangsung.

Inisiatif Felo SMJ diumumkan oleh Hajiji yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2022 Sabah tahun lalu yang merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan pembangunan
modal insan.

Program itu merupakan kerjasama pelbagai agensi termasuk Sekretariat Hala Tuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Majlis Belia Sabah.