LABUAN : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya menyelesaikan 300 buah bangunan sekolah daif di seluruh negara sepanjang tahun 2023.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM telah berjaya menyelesaikan sebanyak 300 buah daripada 400 buah sekolah daif yang direkodkan di seluruh negara sepanjang tahun 2023 dengan tumpuan utama kepada bangunan sekolah diaf di Sabah dan Sarawak.
“Kita sentiasa komited dalam menyelesaikan bangunan sekolah daif di seluruh negara yang mana sebahagian besarnya telahpun selesai terutamanya sekolah daif di Sabah dan Sarawak.
“KPM terus komited untuk menyelenggara dan menaiktaraf bangunan daif melalui pelaksanaan projek di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) bagi memastikan pembangunan pendidikan dan aksess yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Penyerahan Peranti Digital, Sumbangan Murid Yatim dan Bantuan Awal Persekolahan yang diadakan di Dewan SMK Labuan, hari ini.
Fadhlina berkata, bermula tahun ini KPM juga terus berusaha dengan memberi tumpuan kepada dasar pendidikan digital, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuteraan dan Metamatik (STEM), Latihan Teknikal dan Vokisional (TVET), English, Digital dan Pra Sekolah.
Katanya, STEM dan TVET merupakan antara elemen terpenting yang menyokong kepada kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara.
Pada majlis itu, seramai 230 pelajar menerima Peranti Digital dan seramai 130 murid yatim menerima sumbangan wang tunai daripada Yayasan Didik Negara.
Sementara itu, Fadhlinah juga menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan bernilai lebih RM2.33 juta kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan, Abidin Marjan.
Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi Sekolah) KPM Azman Adnan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM Dr Ahmad Rafee Che Kassim.
GAMBAR: FADHLINA menyerahkan secara simbolik replika cek Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM2.33 juta kepada Abidin (tiga dari kiri).