KOSAN menafikan dakwaan notis pengosongan bangunan dilakukan dalam tempoh singkat – Ellron

KOTA KINABALU: Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) menafikan dakwaan kononnya arahan agar penyewa mengosongkan bangunan Wisma KOSAN Likas dilakukan secara tergesa-gesa.

Pengerusinya, Datuk Ellron Angin berkata, surat arahan pengosongan berkenaan dimaklumkan kepada semua penyewa dikeluarkan sejak 14 Mac 2019 lagi.

Katanya, penyewa sudah diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat pengosongan manakala dakwaan yang mengatakan cara pengosongan itu secara tergesa-gesa adalah tidak benar.

“Bagaimanapun, kebanyakan penyewa memohon kepada KOSAN agar tempoh pengosongan dilanjutkan sehingga Disember 2019 dan perkara itu turut dipersetujui pihak KOSAN.

“Penyewa diberikan masa yang sudah mencukupi untuk mengosongkan bangunan. Namun, memandangkan penularan COVID-19, proses pengosongan tidak berjalan lancar.

“Ia melibatkan sebilangan kecil sahaja penyewa yang masih berada di bangunan berkenaan sehingga tarikh akhir pengosongan pada 24 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ellron yang Menteri Belia dan Sukan berkata, pembangunan tanah Wisma KOSAN Likas ditandatangani pada 24 ogos 2015 selepas cadangan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke 30 KOSAN pada 29 Jun 2013.

“Cadangan pembangunan itu turut dibentang, dibincang serta diluluskan oleh anggota KOSAN dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke 34 pada 19 Ogos 2017,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Wisma KOSAN adalah tanah yang dimiliki sepenuhnya oleh KOSAN sendiri dan bukan tanah kerajaan.

Pembangunan di kawasan berkenaan akan memberi manfaat serta keuntungan kepada anggota KOSAN sekali gus rakyat negeri di negeri ini.

“Bangunan yang bakal akan dibangunkan nanti akan mengandungi apartment mampu milik, ruang pejabat serta lot-lot kedai,” katanya.