KOTA KINABALU: Semua kontraktor di Sabah digesa mendaftarkan syarikat masing-masing menerusi Portal Kontraktor Malaysia (MCP) bagi memudahkan urusan transaksi dengan agensi kerajaan selain tujuan pelesenan dan permohonan sijil serta kerja-kerja berkaitan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pada masa ini kira-kira 13,000 kontraktor di Sabah berdaftar dangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), namun kontraktor yang berdaftar dengan MCP amat kurang memberangsangkan.
“Oleh itu, hari ini CIDB telah melakukan seminar di Sabah agar lebih ramai kontraktor yang akan mendaftar dalam MCP…ini juga selaras usaha kerajaan ke arah pendigitalan. MCP ini akan memudahkan urusan antara pihak kontraktor dan agensi kerajaan atau para pelangan syarikat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendaftaran Kontraktor dan Penyampaian Anugerah Khas Kontraktor dan Pengilang di sini hari ini.
Beliau berkata CIDB telah melancarkan portal MCP Februari lepas bagi memudahkan kontraktor mendapat akses kepada semua agensi kerajaan yang berdaftar di dalam MCP.
Selain itu, MCP juga menyediakan Paparan Kad Laporan Kontraktor (CRC). Kad laporan ini akan membolehkan orang ramai serta agensi kerajaan untuk membuat carian kontraktor dan mengakses profil kontraktor.
“CRC juga menyediakan maklumat terperinci berkenaan status pendaftaran dan prestasi kontraktor yang berdaftar dengan CIDB,” katanya.
Arthur berkata antara maklumat yang terdapat dalam CRC termasuklah senarai projek yang diisytihar, senarai sijil yang diraih syarikat tersebut seperti Program Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (SCORE), sijil pengiktirafan Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan tindakan disiplin atau undang-undang yang pernah dikenakan terhadap kontraktor terbabit.
Beliau berkata CRC penting bagi membolehkan agensi-agensi, pemilik projek serta orang ramai memeriksa latar belakang sesebuah syarikat kontraktor.
“Ini akan memastikan hanya kontraktor yang layak, mempunyai rekod prestasi yang baik dan berupaya menyiapkan sesuatu projek dengan sebaiknya akan dipilih untuk melengkapkan projek-projek pembinaan,” tambahnya.
— BERNAMA