Laporan khas Siri 2
Oleh Noorasvilla Muhamaa
BELURAN : Lebih 400 komuniti nelayan di Kampung Keniogan dekat sini menjadi antara mangsa projek ‘sakit’ Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid, sejak tiga tahun lalu.
Mereka tersepit diantara pembangunan yang hendak dibawa oleh kerajaan, sedangkan projek tersebut hanya dilakukan separuh jalan sahaja dan akhirnya terbengkalai.
Kampung tersebut ketika ini mendapat bekalan elektrik yang disalurkan melalui dua unit mesin transformer milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang sudah berumur lebih 25 tahun dan tidak efisien kerana sering mengalami kerosakan.
Pada tahun 2020, kerajaan merancang untuk menangani isu bekalan elektrik di Kampung Keniogan dengan membangunkan Projek BELB, bagaimanapun projek itu terbengkalai tanpa sebarang tindakan susulan daripada pihak berwajib.
Seorang nelayan yang dikenali sebagai Rosli Ince berkata, bekalan elektrik menjadi keperluan mendesak bagi komuniti nelayan di kampung itu kerana mereka perlu menyimpan hasil tangkapan laut di peti sejuk beku sebelum menjualnya ke luar daerah.
“Ini adalah satu isu besar sekiranya SESB tidak menambahbaik operasi mesin transformer sedia ada. Kalau mahu berharap dengan Projek BELB, memang sengsaralah memandangkan sudah tiga tahun projek itu terbengkalai.
“Seawal subuh kami sudah turun ke laut dengan harapan balik ke rumah bolehlah simpan hasil tangkapan di peti sejuk beku. Tetapi oleh kerana bekalan elektrik tidak stabil, kami terpaksa simpan hasil laut dalam tong penyejuk tanpa blok ais. Bukan mudah untuk kami dapatkan bekalan ais di kampung dan akibatnya busuklah hasil tangkapan sebelum dapat dijual ke pekan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Keniogan, Lokman Datuk Madlis berkata dua unit transformer itu telah digunakan sejak tahun 1994 yang mana setiap mesin bergilir-gilir beroperasi untuk tempoh 12 jam sebelah pagi dan 12 jam sebelah malam.
Bagaimanapun, katanya transformer itu sudah tidak mampu menampung permintaan penggunaan elektrik penduduk yang semakin meningkat susulan pertambahan bilangan rumah, bilangan penduduk dan pembangunan semasa.
“Enjin transformer ini sudah terlalu uzur, tidak mampu beroperasi dengan efisien dan perlu dibaikpulih berulang kali. Mesin ini pernah tidak hidup dua minggu kerana perlu menunggu alat yang diganti.
“Apabila penduduk mahu memasang meter elektrik baharu, SESB tidak dapat meluluskannya kerana mesin transformer lama sudah terlebih penggunaan dan selalu rosak. Penduduk hanya diberi jawapan untuk menunggu sehingga Projek BELB siap, sedangkan projek itu ‘sakit’.
“Sebagai alternatif, penduduk terpaksa menggunakan generator yang dibeli sendiri dan perlu menampung kos minyak petrol sehingga RM80 sehari sekiranya mesin itu digunakan selama 24 jam,” jelasnya.
Sehubungan itu, hampir 1,000 penduduk Kampung Keniogan memohon agar kerajaan menarik balik projek ‘sakit’ tersebut supaya pihak SESB boleh menaiktaraf mesin transformer sedia ada kepada yang berkapasiti lebih tinggi sekaligus dapat menampung peningkatan penggunaan elektrik semasa.
Lokman berkata ini kerana dalam mesyuarat bersama SESB sebelum ini, penduduk pernah menyuarakan agar transformer itu dinaiktaraf dan diganti baharu, bagaimanapun SESB tidak dapat berbuat demikian susulan kelulusan Projek BELB untuk kampung itu.
“Selain mesin transformer yang uzur, sebenarnya banyak sudah tiang elektrik yang tumbang dan wayar kabel mereput. Tetapi pihak SESB tidak dapat menggantikan semuanya kerana ada projek solar itu.
“Sekiranya kerajaan mahu meneruskan Projek BELB ini, tolonglah lantik kontraktor yang betul-betul berkemampuan. Pemimpin di peringkat kampung menjadi mangsa kerana didesak oleh penduduk kampung yang sering bertanya mengenai isu ini,” jelasnya.
Kampung Keniogan mempunyai beberapa prasarana utama seperti sekolah, masjid dan surau, penempatan Pasukan Gerakan Am (PGA), balai polis, balai bomba sukarela, dewan dan gelanggang sukan serta perumahan penduduk.