Ketua Jabatan Negeri, Persekutuan perlu pastikan projek pembangunan segera dilaksana – Hajiji

Hajiji (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah pada Jumaat. Gambar JKM Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan perlu memastikan semua projek yang mendapat kelulusan bajet untuk Pelan Pusingan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilaksanakan segera bagi memastikan rakyat mendapat manfaat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan langkah itu penting agar rakyat negeri ini terutama di kawasan pedalaman dapat menikmati kemudahan disediakan untuk mereka.

Beliau menegaskan tiada lagi alasan kelewatan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan disebabkan situasi penularan Covid-19 seperti sebelum ini.

“Kelewatan dalam melaksanakan projek-projek yang telah diluluskan akan merugikan rakyat dan kerajaan, serta menafikan hak rakyat terhadap manfaat yang sepatutnya mereka diterima, selain akan meningkatkan lagi kos pelaksanaan.

“Semua projek hendaklah dilaksanakan segera khususnya projek-projek yang berbentuk “touch points” dan semua agensi hendaklah cuba untuk ‘facilitate’ pelaksanaan projek yang telah diluluskan dan bukan sebaliknya,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri ( MTPNg) di Menara Kinabalu, hari ini.

Mesyuarat itu turut disertai oleh Timbalan Ketua Menteri ll/Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim; Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Sarul Bahiyah Abu.

Dalam mesyuarat itu, Hajiji turut mengumumkan pelantikan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof sebagai ahli baharu MTPNg Sabah, selaras dengan Arahan No. 1 Tahun 2022.

Hajiji berkata, aktiviti ekonomi perlu terus bergerak dan program atau projek pembangunan perlu dirancakkan, selain sistem pendidikan perlu terus berjalan.

“Oleh itu kita perlu gandakan pemanduan, gariskan pelan tindakan yang mantap, rencanakan strategi yang ampuh, selusuri carta perbatuan yang munasabah yang memberikan impak yang tinggi bukan sahaja kepada organisasi tetapi kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Hajiji berkata, terdapat beberapa penambahbaikan dalam strategi utama dan struktur Arahan No. 1, 2022, antaranya ialah penubuhan semula Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) Sabah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, jawatankuasa bagi Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Negeri (FGN) juga dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Daerah (FGD) yang dipengerusikan oleh pegawai-pegawai daerah.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua jawatankuasa memainkan peranan dan fungsi sewajarnya dalam memastikan pelaksanaan mesyuarat mengikut ketetapan Arahan No. 1, 2022.

“Sekiranya terdapat masalah atau isu dalam pelaksanaan program atau projek pembangunan yang tidak dapat diselesaikan di peringkat daerah, maka ia hendaklah dikemukakan ke peringkat seterusnya seperti yang ditetapkan dalam struktur arahan tersebut,” kata Hajiji.