Kerajaan tidak pernah pinggirkan golongan nelayan, antara barisan hadapan sektor Agromakanan – Ronald

MUAR (Johor) — Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata bantuan dan sokongan akan terus diberikan kepada pengeluar makanan yang meliputi golongan nelayan dan penternak akuakultur kerana mereka merupakan pihak berkepentingan utama dalam ekosistem makanan.

“Elaun Sara Hidup Nelayan yang sebelum ini dikurangkan juga telah dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan untuk nelayan laut. Manakala, Elaun Sara Hidup Nelayan Darat pula telah dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan MAFI pada program Jelajah Dialog Industri Agromakanan 2022 (DIA2022) dianjurkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di Sungai Balang, di sini hari ini.

Ronald berkata kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan pelbagai bentuk dana dan pakej rangsangan ekonomi sepanjang dua tahun ini bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“MAFI sahaja telah menerima hampir RM1 bilion melalui pakej-pakej seperti Prihatin, Penjana dan Dana Jaminan Makanan yang disalurkan melalui pelbagai agensi dan jabatan di bawah MAFI untuk manfaat golongan sasar,” kata beliau.

Tambahnya Dana Khas Persatuan Nelayan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihaatin) antara RM100,000 hingga RM200,000 diberikan kepada setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

Beliau berkata sektor perikanan dan akuakultur merupakan antara subsektor agromakanan yang diberikan penekanan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Katanya subsektor perikanan dan akuakultur diunjurkan akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM12.81 bilion pada tahun 2021 kepada RM16.72 bilion pada tahun 2030.

Ronald berkata subsektor ini juga dijangka akan menyumbang kira-kira 21 peratus hingga 24 peratus kepada jumlah KDNK sektor agromakanan dari tahun 2021 ahingga tahun 2030, katanya.

Dalam pada itu, Program DIA2022 itu anjuran DOF di Sungai Balang itu merupakan inisiatif MAFI bagi mendapatkan input, idea, pandangan dan cadangan daripada pemain industri untuk bersama-sama membangunkan industri perikanan yang mampan dan berdaya maju ke arah kelestarian makanan negara selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara DAN 2.0.

Antara yang terlibat dalam program ini adalah pemain industri dalam sektor agromakanan yang berasaskan perikanan merangkumi nelayan pantai, nelayan darat, penternak akuakultur khususnya kupang, ahli myKP dan pengusaha produk hiliran berasaskan ikan yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan Negeri Johor.

Johor merupakan negeri yang mempunyai bilangan nelayan kedua teramai iaitu 11,136 orang di Malaysia, manakala dari segi penternakan dan akuakultur, negeri Johor menyumbang kepada 6.58 peratus pengeluaran akuakultur air tawar dan 4.41 peratus pengeluaran akuakultur air payau di Malaysia.

Johor juga merupakan salah sebuah negeri pengeluar utama kerang dan kupang di Malaysia dimana pada 2020, Johor telah menyumbangkan sebanyak 317.3 tan metrik kerang yang bernilai RM2.6 juta dan merupakan negeri pengeluar utama kupang, iaitu 951.7 tan metrik dengan nilai RM4.7 juta.