Kerajaan Persekutuan digesa melihat harga tiket penerbangan yang tinggi – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri GRS-BN menggesa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji pengurangan tambang penerbangan bagi penerbangan domestik.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata harga tiket penerbangan yang meningkat itu sehingga membebankan orang ramai yang terpaksa terbang ke Kuala Lumpur dari sini atau sebaliknya.

“Sama ada untuk bekerja atau beriadah, tambang penerbangan yang tinggi telah memberi cabaran kepada individu dan keluarga.

“Ini juga tidak sesuai dengan aspirasi untuk membawa lebih ramai pengunjung ke Sabah sekarang berikutan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas.

Hajiji berkata Kabinet Negeri telah membincangkan perkara itu semasa mesyuarat mingguannya di sini hari ini dan melihat dengan serius kenaikan tambang penerbangan yang keterlaluan.

Beliau berkata baru-baru ini dilaporkan mengenai kenaikan harga tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri telah menimbulkan kebimbangan.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri mahu Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan meneliti perkara itu.

“Kami menggesa Menteri Pengangkutan melihat perkara itu dengan segera dan mengurangkan harga tiket penerbangan yang dilaporkan telah melonjak kepada sekitar 566 peratus berbanding bukan perayaan untuk laluan yang sama.

“Ramai rakyat Sabah sama ada belajar atau bekerja di semenanjung dengan kebanyakan mereka mahu pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

“Tetapi dengan harga tiket penerbangan yang melambung tinggi, ramai yang tidak dapat pulang ke kampung mereka dengan mudah kerana mereka tidak mampu. Ia membebankan rakyat..Oleh itu kita di Kabinet Negeri merasakan pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak,” katanya.

Terdapat juga laporan bahawa harga tiket penerbangan ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau adalah lebih mahal daripada beberapa destinasi antarabangsa dari Kuala Lumpur.

Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) sebelum ini melaporkan rungutan pelajar Sabah di Semenanjung Malaysia mengenai tambang penerbangan tinggi yang biasanya berharga antara RM198 dan RM300 setiap orang untuk perjalanan pulang ke Kota Kinabalu.

Bernama melaporkan bahawa seorang rakyat Sabah menyiarkan di akaun Facebooknya bahawa bajet tambang syarikat penerbangan untuk penerbangan Kuala Lumpur – Sandakan yang berlepas pada 30 April berharga RM1,049 manakala sebuah syarikat penerbangan lain mengenakan bayaran RM1,400 untuk laluan yang sama pada tarikh yang sama.