TENOM: Biarpun baru setahun mentadbir negara, kerajaan perpaduan berjaya menyelesaikan banyak perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lebih pantas berbanding sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelbagai langkah diambil bagi merealisasikan perkara itu, antaranya mengarahkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan mesyuarat melibatkan MA63 bagi menyegerakan pelaksanaan perkara berkaitan.
“Untuk Sabah sendiri, banyak perkara dalam MA63 berjaya diselesaikan, antaranya pengembalian semula kuasa pengurusan bekalan elektrik dan meluluskan projek kecil kepada kerajaan negeri.
“…dalam tempoh setahun ini, kita selesaikan lebih pantas berbanding puluhan tahun sebelumnya…saya jelaskan kerana ada tokoh politik di Sabah gunakan cerita ini untuk tarik minat orang Sabah, guna sentimen. Kalau ada fakta, saya tiada masalah, tetapi kalau putar belit, saya terpaksa jawab.” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini, hari ini. Empangan dengan kapasiti pembekalan elektrik 187.5 megawatt itu dijangka siap pada 2029 dengan kos RM4 bilion.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.