KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kuamut, Datuk Masiung Banah memberi perumpamaan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)/PH Plus bukan seperti ayam bertelur riuh sekampung.
Sebaliknya beliau memaklukan, kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melakukan kerja tanpa dihebahkan umum tetapi akhirnya menunjukkan hasil kepada rakyat.
Menurutnya, beberapa perkara telah disimpulkan selepas meniliti dan mendengar Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik 2024 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri hari ini.
“Yang pertama, ini menunjukan komitmen kerajaan negeri. Kerajaan negeri ini walaupun di luar didengar bahawa kerajaan dibawah pimpinan Hajiji, Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman tidak bermaya, tidak cergas, tidak bersuara tetapi kerajaan ini adalah kerajaan diam-diam tetapi bekerja.
“Kita bukan ayam betina yang bertelur. Kalau ayam betina yang bertelur, dia bertelur sebiji satu kampung mendengar suaranya (berkokok). ADUN Sulaman dia diam-diam tetapi bekerja dan hari ini adalah hasil daripada kerja beliau, ” kata Masiung ketika menyampaikan ucapan bahasnya dalam Sidang Khas Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Katanya, banyak isu membabitkan bekalan elektrik berlaku di Sabah disebabkan pertambahan penggunaan tenaga elektrik dengan kemasukan pelabur yang memulakan perniagaan di negeri ini.
“Kerajaan faham bahawa kadar penggunaan dari hari ke hari semakin bertambah apatah lagi dengan kestabilan politik dan keyakinan pelabur luar terhadap kepimpinan kerajaan negeri Sabah, maka berduyun-duyun pelabur datang melabur membuka kilang dan ini memerlukan tambahan penggunaan elektrik.
“Jadi kalu kita tanya apa cadangan, apa tindakan kerajaan negeri, inilah dia. Dengan bermulanya mengambilalih kuasa bekalan elektrik daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Masiung memaklumkan pengambilalihan kuasa mengawal selia elektrik Sabah bukan melibatkan kenaikan tarif elektrik di negeri ini.
“Di luar sana bertanya, adakah selepas ini kerajaan negeri akan menaik tarif elektrik, bil elektrik adakah akan melambung naik.
“Yang akan kita lulus hari ini tidak ada kenaikan tarif elektrik, jadi rakyat di luar jangan takut, sekadar untuk meluluskan penyeliaan bekalan elektrik,” kata Masiung.