Kerajaan Negeri menyokong penuh aktiviti kebudayaan Cina

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan menggalakkan pembangunan dan pertumbuhan semua aktiviti kebudayaan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Kerajaan Negeri akan terus menggalakkan setiap kumpulan etnik di Sabah untuk melindungi warisan budaya masing-masing dan dengan berbuat demikian ini akan menggalakkan toleransi kaum dan budaya,” katanya pada majlis pelancaran Karnival Tahun Baharu Cina 2024 di Lintasan Deasoka di sini, malam tadi.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Hajiji berharap semua yang menyambut Tahun Baru Imlek akan menerima sifat-sifat naga mengikut zodiak Cina – keberanian, kejayaan dan kemakmuran.

Pada masa sama, Hajijii mengulangi gesaan agar masyarakat Cina menjadi rakan kemajuan dan bekerjasama dengan kerajaan untuk membangunkan negeri ini.

“Saya yakin dengan sokongan daripada rakyat, khususnya masyarakat Cina, ini akan melengkapkan usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.

Hajiji turut memuji penganjur bersama, Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FACS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu kerana berjaya menganjurkan Karnival Tahun Baharu Cina 2024.