KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kewangan sedang dalam pelaksanaan Rancangan Penambahbaikan Tatakelola dan Tadbir Urus Agensi Awam Negeri termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)
Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata ini termasuk membawa masuk juruaudit pakar untuk menjalankan audit dan kajian semula ke atas GLC yang bermasalah.
Katanya pemeriksaan teliti ke atas penyata kewangan ini akan dapat membantu Agensi Awam Negeri mengenalpasti risiko dan mencari jalan sama ada mempertahankan atau membaik pulih perniagaan dan aktiviti yang dijalankan.
Menurutnya GLC sebagai jentera yang membantu Kerajaan Negeri meningkatkan hasil melalui pulangan pelaburan, beberapa inisiatif akan dilaksanakan pada tahun hadapan
“Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) adalah mengikut kriteria berdasarkan pengalaman, profesionalisme, kelayakan dan kompeten. Ini bertujuan untuk memastikan adanya check and balance dalam setiap pelantikan Ahli Lembaga Pengarah.
“Melaksanakan Sistem Score Card sebagai penanda aras prestasi yang membantu Kerajaan memantau dan meningkatkan akauntabiliti Ahli Lembaga Pengarah yang telah dilantik.
“Melaksanakan Sistem Merit Demerit sebagai strategi pemantauan Agensi Awam Negeri dan menguatkuasakan peraturan serta undangundang melalui Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Pematuhan Tadbir Urus Korporat bagi memastikan aktiviti Agensi Awam dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan berkesan,” katanya pada ucapan penggulungan Belanjawan 2024 Negeri Sabah di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Masidi berkata pelaksanaan sistem-sistem ini bertujuan untuk memantapkan lagi State Company Information System (SCIS) sedia ada.
Menurutnya penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Pelaburan dan Pinjaman Agensi Awam Negeri untuk memastikan pelaburan yang dilaksanakan dapat memberi pulangan yang menguntungkan, membantu Agensi Awam Negeri merealisasikan cadangan perniagaan yang berpotensi dan memastikan kepentingan Kerajaan Negeri terjaga.
Katanya mewartakan Agensi Awam Negeri untuk pengauditan agar dapat memberi gambaran Kedudukan Kewangan yang benar dan saksama dan rekod kewangan mengenainya diselanggarakan dengan teratur dan kemas kini.
Beliau berkata bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menilai sama ada pengurusan kewangan di Agensi Awam Negeri telah dilaksanakan secara telus dan berintergriti mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.