Kerajaan komited pastikan bekalan ayam dan telur terus stabil

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberi subsidi kepada penternakayam sebanyak RM0.60/kg dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90/kg dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90/kg.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata bagi telur, Jemaah Menteri bersetuju memberi subsidi sebanyak RM0.05/biji untuk semua jenis kategori.

Katanya ini bertujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

“Tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari 2022 hingga 4 Jun 2022 iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

“Anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada Kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat (4) bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MAFI melalui DVS juga akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan.

MAFI berharap langkah intervensi Kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekaligus memastikan rakyat dapatmembeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan.