Keputusan tuntutan 40 peratus dimuktamadkan pada 30 Jun ini – Jeffrey

KOTA KINABALU : Keputusan hak Sabah ke atas 40 peratus hak bersih akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 menjelang 30 Jun ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, perkara dipersetujui dalam mesyuarat terakhir dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, pada 14 Mac lalu.

Katanya, pihak meminta kerajaan persekutuan untuk memberikan angka, data, sebanyak 13 kali, tetapi mereka belum memberikan maklum balas.

“Kita tidak boleh menunggu lagi, sebaik sahaja keputusan dicapai, hasilnya akan diserahkan kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

“Majlis utama dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk kelulusan akhir,” katanya.

Jeffrey berkata, hak ke atas 40 peratus sentiasa menjadi pertikaian antara Sabah dan kerajaan persekutuan.

“Sabah telah bertahun-tahun menuntut hak ke atas 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip dari Sabah oleh persekutuan, berdasarkan jaminan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Perkara ini juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh yang menyatakan secara jelas bahawa Sabah berhak mendapat dua perlima daripada hasil yang dikutip oleh kerajaan persekutuan dari Sabah,” jelas Jeffrey.

Menurutnya, pemberian RM600 juta hanyalah interim atau bayaran sementara dan bukan jumlah muktamad sebenar.

“Rakyat sedang menunggu. Jika kita mendapat apa yang sepatutnya kita peroleh, kita boleh membangunkan negeri ini dengan lebih cepat dan menyelesaikan masalah kita dengan lebih berkesan.

“Sabah telah pun meningkatkan pendapatannya sendiri, dari RM4.3 bilion ke RM7 bilion dalam tempoh yang singkat,” kata Jeffrey.

Beliau menegaskan peruntukan pembangunan RM6.7 bilion diterima setiap tahun itu sebahagian besarnya diuruskan oleh agensi persekutuan.

“Kebanyakknya dikembalikan tanpa digunakan, menyebabkan sebahagian besar Sabah kurang membangun serta banyak daerahnya menghadapi masalah kemiskinan.

“Setiap tahun, kita lihat separuh, atau lebih, dikembalikan kerana ia tidak dilaksanakan. Itulah sebabnya kita memerlukan wang kita sendiri dikembalikan,” katanya.

Justeru katanya, Sabah memohon supaya dana persekutuan yang tidak sempat digunakan, disimpan dalam amanah negeri untuk memastikan ia digunakan sepenuhnya.

“Penceritaan kononnya Sabah mendapat bahagian terbesar daripada pembangunan persekutuan, seperti sering ditunjukkan menteri persekutuan adalah sesuatu yang mengelirukan rakyat.

“Itu tidak benar. Daripada RM90 hingga RM100 bilion, Sabah dan Sarawak bersama-sama hanya mendapat 10 hingga 13 peratus. Semenanjung mendapat 80 hingga 90 peratus,” katanya.

Menurutnyan, Sabah juga menyasarkan pengambilan semula 10 peratus duti eksport dan import ke atas petroleum, yang mampu menjana RM100 bilion setiap tahun.

“Bayaran itu pernah dibuat tetapi dihentikan pada tahun 2007, dengan alasan pengharmonian perdagangan ASEAN, walaupun duti itu tidak pernah dimansuhkan secara rasmi.

“Kita mahu tuntutan 40 peratus harus didahulukan sementara tuntutan lain akan menyusul kemudian,” tegas Jeffrey.