SANDAKAN: Kepimpinan utama pemuda PAS Sabah tonjolkan muka baharu apabila sayap parti itu selesai melaksanakan pemilihan dalam Muktamar Tahunannya yang berlangsung secara hibrid semalam.
Mantan Naib Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah telah dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Sabah bagi sesi 2021-2023 apabila telah menang tanpa bertanding dalam pemilihan kepimpinan sayap parti itu.
Katanya dalam ucapan penangguhan itu, menzahir ucapan penghargaan buat mantan Ketua Pemuda yang telah memimpin bantera pemuda itu dengan sebaiknya.
Selain itu, jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula telah diterajui oleh mantan Setiausaha Pemuda PAS Sabah, Hamdi Hassan setelah memenangi jawatan tersebut melalui pertandingan dua penjuru yang dilaksanakan selepas jawatan berkenaan diisytihar kosong.
Katanya, beliau tidak pernah terfikir akan menyandang jawatan itu, namun beliau akur dengan keputusan perwakilan yang mahu beliau menyandang jawatan tersebut.
Sementara, Muhd Huzaini Rohani, merupakan anak jati daerah Semporna telah menang tanpa bertanding untuk jawatan Naib Ketua Pemuda yang telah diumumkan bagi sesi 2021-2023.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Semporna mengajak seluruh perwakilan untuk bersatu bersama barisan kepimpinan bagi menerajui pemuda PAS itu untuk sesi kali ini.
Mengulas keputusan pemilihan tersebut, mantan Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin berkata muka baharu dalam kepimpinan utama pemuda ini mampu memberikan satu lonjakan paradigma buat pemuda bagi meneruskan legasi kepimpinan sedia ada dan menambahbaik gerak kerja yang lebih profesional.