Kelonggaran SOP di Sabah telah diputuskan dalam mesyuarat kabinet

KOTA KINABALU:  Keputusan melonggarkan operasi beberapa aktiviti ekonomi serta sosial sudah dibincangkan dalam ‘Mesyuarat Kabinet’ sekali gus mendapat sokongan sepenuhnya kalangan semua menteri Kabinet.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, tindakan ini perlu terus dikekalkan bagi membolehkan pengusaha makanan dapat menjalankan perniagaan mereka mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kebenaran yang dibuat ini juga mempunyai asasnya seperti aktiviti ‘dine-in’ lebih mudah untuk dikawal serta mematuhi SOP memandangkan bilangan pelanggan untuk satu meja boleh disusun atur.

“Kerajaan negeri tahu apa yang perlu dibuat untuk terus kekal dengan keputusan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jeffrey berkata, SOP yang perlu dilaksanakan di Sabah hendaklah mengikut apa yang diputuskan oleh kerajaan negeri memandangkan pengurusan COVID-19 di negeri ini terbukti antara yang terbaik setakat ini.

“Kerajaan Persekutuan perlu ikut apa yang diputuskan oleh kerajaan negeri dalam mengendalikan SOP di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, aktiviti rentas zon juga perlu dibenarkan di antara kawasan zon hijau dan aktiviti secara normal dibenarkan di dalam zon hijau.

“Orang luar terutama yang datang dari kawasan bukan zon hijau juga dilarang memasuki kawasan zon hijau bagi mengelak berlakunya jangkitan COVID-19.

“Selain itu, mereka yang tidak lagi mempunyai pekerjaan sepatutnya dihantar balik memandangkan tidak ada gunanya mereka terus tinggal di kawasan mereka pernah bekerja jika tidak lagi bekerja dan ia langkah bijak untuk dilaksanakan,” katanya.