Kekurangan bekalan elektrik di Sabah akibatkan sukar tarik pelabur buka kilang di Sabah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhami Nasir menyambut baik usaha Kerajaan untuk menyerahkan kawal selia elektrik kepada Kerajaan negeri Sabah dan dijangka penyerahan kuasa ini akan dimuktamadkan menjelang Januari 2024.

Pada masa sama beliau ingin membangkitkan isu bekalan tenaga elektrik yang tidak mencukupi bagi keperluan penduduk di parlimen Libaran.

Katanya keadaan kekurangan bekalan tenaga elektrik ini mengakibatkan Kerajaan serta Kerajaan negeri sukar menarik pelabur bagi membuka kilang-kilang khususnya di parlimen Libaran.

“Besar harapan saya setelah kawal selia elektrik ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak Kerajaan negeri Sabah isu berkenaan kekurangan bekalan tenaga elektri di parlimen Libaran ini dapat diatasi,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021-2025) di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu,Suhaimi turut menyentuh isu pemilikan rumah yang masa kini, harga rumah dilihat terlalu mahal dan kadar sewaan rumah juga semakin meningkat sehingga membebankan rakyat.

Katanya Kerajaan juga dilihat komited dalam memastikan sasaran untuk membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik dalam RMK12 akan tercapai dan sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 108,373 unit Rumah Mampu Milik telah dibina.

“Namun begitu, saya ingin menarik perhatian pihak Kerajaan agar mengkaji Indeks Harga Rumah Mampu Milik bagi setiap lokaliti di seluruh negara bagi memastikan penentuan harga wajar rumah mampu milik di sesuatu kawasan.

“Sebagai contoh harga rumah mampu milik di Kuala Lumpur seharusnya tidak sama dengan harga rumah mampu milik di Sabah khususnya di kawasan Parlimen Libaran atas faktor gaji penduduk di kawasan tersebut.

“Penentuan harga wajar bagi rumah mampu milik ini adalah penting bagi memastikan tidak berlakunya lambakan rumah mampu milik. Sebagai contoh, projek perumahan PR1MA di Sandakan yang masih banyak lagi belum terjual dan pada akhirnya menjadi projek perumahan hanya mampu tengok kerana tidak mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya.

Beliau berharap berharap agar Kerajaan turut mempertimbangkan untuk memperbanyakkan Skim Sewa untuk Beli (Rent-to-Own, RTO) dibawah Program Perumahan Rakyat (PPR) khususnya di Parlimen Libaran.

Katanya melalui skim ini, impian golongan rakyat B40 khususnya di Parlimen Libaran untuk memiliki kediaman sendiri dapat direalisasikan.