Kejayaan BN di PRN Johor bukti BN masih relevan dihati rakyat – Bung Moktar

 

ULU TIRAM (Johor): Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan BN masih relevan di hati rakyat kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurut beliau kemenangan itu memberikan semangat untuk BN terus melangkah menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti

Katanya rakyat Johor telah pun membuat keputusan jelas siapa yang mereka pilih untuk mentadbir negeri Johor melalui PRN semalam yang keputusannya memihak kepada BN.

Beliau berkata samaada ia kemenangan kecil atau besar tidak penting yang penting kehendak rakyat melalui kertas undi sudah diterjemahkan

“Kemenangan BN dengan 40 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan bukan sahaja mencerminkan kehendak rakyat Johor tapi bukti jelas BN masih relevan dihati rakyat” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, DUN Johor dibubarkan adalah untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.

Hasilnya, beliau berkata mandat baharu sudah diberikan yang perlu dihormati dan tidak mengulangi perangai lama lompat sana dan lompat sini mengkhianati mandat rakyat.

“Mandat baharu yang diberikan oleh rakyat ini perlu disusuli dengan tindakan berkerja untuk rakyat dan masa ini BN perlu membuktikan janjikan dilontarkan dalam manifesto perlu dilaksanakan” katanya

Mengulas kemenangan DUN angkat yang dijaga oleh Umno Sabah dalam PRN kali ini, Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah berkata beliau bersyukur kerana dua DUN iaitu Tiram dan Permas dapat ditawan dari parti lawan yang sebelum ini diwakili Parti Keadilan Rakyat.

“Walaupun kita terlepas dua DUN Johor Jaya dan Puteri Wangsa yang sudah kita jangka awal kerana faktor majoriti pengundi kebanyakan Cina namun kejayaan menyumbang dua kerusi sudah cukup bermakna” kata Bung Moktar.