SANDAKAN : Kesiapsiagaan Kapal Diraja (KD) Sri Tiga diuji dalam perlaksanaan Sandakan Readiness Exercise (SREX) Siri 24/23 yang diadakan semalam.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Wilayah Laut 2 dalam satu kenyataan berkata eksesais itu menjadi platform utama yang dipraktikkan bagi melatih dan menilai keupayaan aset serta kecekapan warga kapal di TLDM Sandakan.
Menurut kenyataan itu, antara siri latihan yang dinilai ialah aspek navigasi seperti panduarah terang gelap, laluan bebas periuk api, evolusi ilmu kelautan seperti bersauh, menurun dan menaikkan bot dan latihan mendarat serta latihan Mengawal Kerosakan Melawan Api (MKMA) untuk menilai tahap kompetensi warga terutamanya tim anjungan selain menilai tahap pengoperasian peralatan sedia ada di kapal.
“KD Sri Tiga dipilih pada siri latihan kali ini kerana kapal dijadualkan bakal menghadapi Audit Kesiapsiagaan pada Januari hadapan. Justeru, persiapan dan pendedahan awal telah diberikan oleh Bahagian Peperangan dan Kesiagaan MAWILLA 2,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Kejayaan SREX Siri 24/23 ini membuktikan keupayaan warga dan aset Armada TLDM di bawah naungan MAWILLA 2 sentiasa memenuhi keperluan operasi.
Malah, latihan berkala itu turut menjadi platform terbaik bagi melatih setiap kru kapal melaksanakan tugas dalam situasi kritikal ketika berhadapan dengan ancaman subversif sama ada melalui atas atau bawah permukaan air, kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi perlaksanaan SREX Siri 24/23 membuktikan kesungguhan TLDM sebagai angkatan tentera yang sentiasa bertanggungjawab mengekalkan kestabilan kesiapsiagaan aset dan keselamatan perairan negara.