KUALA PENYU: Jonas Sunggim dipilih sebagai Ketua bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam mesyuarat agung pemilihan parti itu di Dewan Muhibbah Kampung Menumpang di sini, hari ini.
Beliau memperoleh 153 undi mengalahkan bekas ketua bahagian, James Ajuk yang mendapat 32 undi dalam pertandingan satu lawan satu.
Jonas, bekas calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu pada pilihan raya negeri ke-13 diramal menang mudah berikutan sokongan kuat perwakilan yang mahukan perubahan pimpinan bahagian parti itu di bahagian berkenaan.
Ketika ditemui selepas pemilihan itu, beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada perwakilan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui bahagian tersebut.
Katanya, beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan bersama para ahli dan penyokong parti STAR di Kuala Penyu.
Beliau berharap semua ahli parti itu akan terus berganding bahu dan sentiasa bekerjasama dalam kalangan mereka bagi mengukuhkan lagi kedudukan bahagian berkenaan.
“Kita juga akan saling merapatkan lagi hubungan dengan parti yang menerajui kerajaan terutama dalam menghadapi pilihan raya Parlimen yang mungkin berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.
Turut terpilih sebagai Timbalan Ketua Bahagian yang baharu ialah Endion Isuh. Manakala tiga Naib Ketua Bahagian yang menang dalam pemilihan itu, Titu @ Sasi Baskaran, Karim Ramsah dan Khairunisah Karim.
Ahli jawatankuasa yang terpilih terdiri daripada; John Anthony, Gilbert Alianus, Roger Enggoh, Julius Bhaci Bhatt. Amip Sutiu dan Taib Matrin.
Jonas juga kemudian mengumumkan pelantikan setiausaha bahagian yang baharu, Mohammad Shah Julin dan penolongnya Roland Tony.
Manakala Vincent Bhaci Batt dilantik sebagai Bendahari Bahagian dan Jusbian Kini sebagai Ketua Penerangan.
Timbalan Presiden STAR, Datuk Jalumin Bagayoh merasmikan Mesyuarat Agung Pemilihan parti tersebut.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga Adun BIngkor, Datuk Robert Tawik mengucapkan tahniah atas permilihan Ketua Bahagian baharu itu.
SabahNewsToday