BERA: Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan ini.
Katanya, berdasarkan laporan media harga tiket dikatakan naik sehingga 500% pada musim perayaan, dan beliau menyifatkan ia sebagai “agak melampau” kerana rakyat tidak mempunyai alternatif untuk ke negeri berkenaan selain menaiki kapal terbang.
Sehubungan itu, perdana menteri berkata beliau telah meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi meneliti jika berlaku pelanggaran bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 berhubung kenaikan harga itu.
“KPDNHEP perlu tegas terhadap mana-mana pihak, tidak kira syarikat besar atau kecil yang mengambil untung berlebihan di bawah AKHAP…tindakan segera perlu diambil untuk menjaga kepentingan rakyat. Kita tidak akan membiarkan peniaga mengambil kesempatan pada waktu (sambutan) Hari Raya atau puasa untuk memberi tekanan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pasar raya MG CoopMart milik Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera Berhad (Kopbera) dan Jualan Harga Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera di sini hari ini.
Selain KPDNHEP, Ismail berkata beliau juga meminta Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mencari jalan penyelesaian bersama dengan pengendali syarikat penerbangan bagi mengurangkan harga tiket, dan menurutnya beliau difahamkan pertemuan dengan pihak terlibat telah berlangsung.
Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi tajuk perbualan hangat sejak kebelakangan ini apabila harga dipaparkan pada laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala ke Sabah atau Sarawak, iaitu peningkatan kira-kira 566% berbanding kebiasaan sekitar RM300 bagi perjalanan sama.
Sementara itu, Ismail berkata mesyuarat jawatankuasa khas tangani kos sara hidup pada Jumaat ini akan meneliti cadangan beberapa kementerian khususnya KPDNHEP untuk memastikan harga barangan keperluan harian dijual pada harga munasabah dan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.
– BERNAMA