Jalan Cecily ditutup pada 18 dan 19 Disember bagi kerja-kerja penebangan pokok

SANDAKAN : Masalah pokok-pokok besar yang membahayakan pengguna jalan raya di sepanjang Jalan Cecily, Karamunting, akhirnya akan diselesaikan dengan kerjasama padu daripada pelbagai jabatan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata, perkembangan itu diputuskan dalam mesyuarat pagi tadi yang mana beliau telah berjumpa dengan wakil dari Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Telekom Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Parlimen Batu Sapi.

Jalan Cecily ditutup pada 18 dan 19 Disember bagi kerja-kerja penebangan pokok

Beliau memberitahu Jalan Cecily akan ditutup pada hari Isnin dan Selasa depan (18 dan 19 Disember) bagi memberi laluan untuk kerja-kerja penebangan pokok dan pembersihan besar-besaran di sepanjang tepi jalan itu.

Katanya, masa dan tempoh penutupan Jalan Cecily akan diumumkan dan disebarkan oleh pelbagai pihak yang terlibat selepas ketetapan perkara itu dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menurut George, masalah tersebut telah lama wujud sehinggakan terdapat beberapa kemalangan di Jalan Cecily termasuk tahun ini yang disebabkan oleh pokok besar yang tumbang di atas jalan raya semasa cuaca buruk.

Namun, katanya, masalah tersebut sukar untuk diselesaikan dalam masa yang singkat kerana terdapat pertindihan dari segi skop kerja jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan hingga ada diantara mereka yang saling menolak kerja dan mendakwa lokasi itu bukan di bawah tanggungjawab mereka.

“Oleh itu, sekarang kita buat satu tindakan yang mana semua jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan akan bekerjasama dan menyelesaikan masalah pokok besar di Jalan Cecily ini secara bersama.

“Semua akan menghulurkan tenaga bergotong royong untuk menyelesaikan masalah ini. Oleh itu, tidak lagi ada masalah salah faham dan saling tolak kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gotong-royong itu akan disertai oleh Task Force Team ADUN Karamunting dan sukarelawan daripada badan bukan kerajaan yang lain.

Dua buah skylift dan lori akan digunakan bagi kerja gotong-royong tersebut.

Selain itu, pihak Polis Trafik dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan digerakkan ke lokasi untuk mengawal aliran trafik berikutan penutupan Jalan Cecily.

George berharap tindakannya untuk menggerakkan gotong-royong itu akan dapat menyelesaikan masalah pokok besar merbahaya di Jalan Cecily seperti yang telah beliau utarakan berkali-kali semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Marilah kita semua berkerjasama dan berganding bahu untuk menjadikan Jalan Cecily ini selamat untuk pengguna jalan terutamanya rakyat Karamunting,” tambahnya.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Batu Sapi Khairul Firdaus Akbar Khan yang memberikan sokongan padu terhadap usaha tersebut.