IKRAR berperanan besar beri penjelasan hala tuju Kerajaan Negeri melalui SMJ – Nizam

KOTA KINABALU : Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat Sabah (IKRAR) mempunyai peranan besar dalam memberi penjelasan kepada belia khususnya berkaitan pencapaian serta hala tuju Kerajaan Negeri dalam Sabah Maju Jaya (SMJ).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini merupakan hasrat utama yang dilhamkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk melihat kesepaduaan rakyat dapat disatukan sekali gus kebersamaan dapat dikekalkan selaras dengan slogan Malaysia Madani.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Program Kayuhan SMJ Santai Anak Muda Sabah Tapak Lintasan Deasoka Kota Kinabalu.

Katanya, IKRAR akan memperluaskan program lebih menjurus kepada Anak Muda Sabah di seluruh negeri bagi memastikan belia dapat memahami peranan serta fungsi utama kerajaan negeri Sabah.

“Kita mahu melihat anak muda serta rakyat Sabah memahami konsep yang di perkenalkan ini dengan secara tidak langsung kekal bersatu padu di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah.

“Kita ingin tunjukkan Sabah merupakan contoh kesepaduan yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum selain dapat menunjukkan contoh terbaik dalam kalangan negeri-negeri lain di negara ini.

“Saya melihat inilah menjadi tugas serta fungsi utama IKRAR dalam mendepani cabaran bagi mereka bagaimana haluan yang perlu kita ambil untuk memastikan Sabah ini tidak lagi seperti dahulu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nizam mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor merasmikan Program Kayuhan SMJ Santai Anak Muda Sabah Tapak Lintasan Deasoka di sini, hari ini.

Menurut Nizam, masalah di Sabah adalah wujud ketidaksefahaman dalam kalangan sesama sendiri, tiada dokongan serta sokongan sehingga boleh berpecah belah.

“Sehingga Sabah dikawal oleh orang-orang yang bukan berasal dari sini (Sabah)….Jadi inilah peranan IKRAR diwujudkan adalah mengukuhkan kesepaduan, bersatu hati agar suara Sabah ini dapat dihormati bukan sahaja dalam kalangan kawan malah pihak lawan,” jelas Nizam.