KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) akan mencatat sejarah sebagai hospital pertama di Borneo yang menawarkan perkhidmatan Hippotherapy secara klinikal khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Pengarahnya, Profesor Madya Dr. Malehah Mohd Noh, memaklumkan bahawa inisiatif ini dijalankan melalui kerjasama strategik antara HUMS, Happy Farms Hippotherapy Malaysia, dan Nautica Stable.
Menurut beliau, Hippotherapy bukan sekadar rawatan fizikal, tetapi juga membantu memulihkan fungsi motor, keseimbangan, kekuatan otot teras.
“Selain itu kawalan postur, serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan deria pesakit melalui interaksi terapeutik dengan pergerakan kuda.
“Terapi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai rawatan berkesan untuk individu dengan cerebral palsy, autisme, sindrom down, kelewatan perkembangan, dan gangguan neurologi lain,” katanya di sini semalam.
Dr. Malehah berkata, langkah HUMS memperkenalkan perkhidmatan ini menandakan pencapaian baharu dalam bidang pemulihan dan kesihatan di Sabah.
“Ia sekali gus memberikan harapan baharu kepada komuniti kanak-kanak berkeperluan khas di seluruh Borneo,” jelasnya.
