Hujan lebat berterusan akibatkan banjir di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran

KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan bermula awal pagi tadi sehingga kini telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata semua agensi terlibat kini sedang melakukan pemantauan di kawasan hotspot banjir dan persediaan telah dilakukan awal bagi menghadapi bencana banjir di negeri ini.

“Sungai Moyog didapati pada paras bahaya dan Jalan Datuk Panglima Banting terjejas kedua-duanya di Penampang, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam menghadapi situasi ini. Tiada mangsa banjir dipindahkan dan tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beberapa jalan menuju ke Kota Kinabalu dari Tuaran turut terjejas antaranya Jalan Salut dan Jalan Sulaman, manakala tinjauan mendapati jalan itu tidak dapat dilalui kenderaan mengakibatkan kesesakan lalu lintas kira-kira 3 kilometer.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk untuk kawasan pantai barat Sabah pada 8.35 pagi tadi.

Menurut kenyataan hujan lebat dijangka berterusan di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Papar dan Kota Belud.

Hujan lebat dijangka berlaku di kawasan pedalaman Sabah antaranya Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan, serta beberapa kawasan lain iaitu Ranau dan Kudat.

— BERNAMA