Hajiji yakin RTM tingkatkan program liputan tarik pelancong ke Sabah

KOTA KINABALU: RTM perlu meningkatkan program promosi membantu kerajaan dalam menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata ini termasuk budaya serta etnik dapat membantu mempromosikan Sabah, terutama dalam pembukaan semula sempadan negara bermula hari ini.

Katanya, sebagai badan penyiar masih relevan, RTM memainkan peranan penting dalam membantu usaha kerajaan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Kita berharap lebih banyak lagi program berkaitan dengan Sabah termasuk budaya serta etnik diterbitkan atau ditambahbaik pengisiannya.

“Ini kerana program tersebut, bukan sahaja masih relevan kepada penduduk di negeri ini, malah dapat membantu mempromosikan budaya rakyat berbilang kaum menerusi saluran radio atau televisyen milik RTM”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Hari RTM ke-76 Peringkat Negeri Sabah di lobi Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-Komm), hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Jeffrey G.Kitingan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri memuji komitmen RTM dalam memperkasa keupayaannya dalam menerbitkan kandungan rancangan dalam pelbagai medium bahasa Inggeris, Cina, malah bahasa etnik Kadazan, Dusun, Murut, Bajau Pantai Barat serta Bajau Pantai Timur.

“Kita yakin, pemerkasaan bahasa etnik khususnya di Sabah dapat memastikan penyampaian maklumat yang lebih jelas dan berkesan kepada masyarakat pelbagai kaum di negeri ini”, tegasnya.

“Dalam usia 76 tahun, RTM terus bersemangat, semakin aktif mencipta lebih banyak kemajuan termasuk penyiaran menerusi platform media digital, sama ada internet mahupun aplikasi mudah alih,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong Program Jelajah Keluarga Malaysia RTM, terdiri daripada Jelajah Ramadan, Jelajah Raikan Syawal dan Jelajah Kami Prihatin bermula April hingga Jun ini, sebagai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat khususnya yang kurang bernasib baik.

“Kerajaan negeri juga ingin merakamkan terima kasih kepada semua warga RTM Sabah yang terus bertungkus lumus memberi maklumt berkaitan pandemik COVID-19 kepada rakyat, menerusi pelbagai bidang penerbitan sama ada radio atau televisyen, sejak lebih dua tahun lalu”, katanya.