KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengalu-alukan rancangan saintis sel stem Prof Datuk Seri Dr Mike Chan untuk menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan kesihatan perubatan bertaraf dunia.
Chan, yang merupakan Pengerusi European Wellness Biomedical Group berkongsi rancangan pengembangan dan visinya di negeri itu semasa pertemuan dengan Ketua Menteri baru-baru ini.
Chan berkata beliau dan isteri kelahiran Sabah, Prof Datuk Seri Dr Michelle Wong merancang untuk mengembangkan operasi mereka di Sabah bagi memenuhi pasaran Asean dan BIMP-EAGA.
Beliau berkata rancangan pengembangan mereka termasuk penubuhan kemudahan pembuatan biofarmaseutikal menggunakan teknologi Jerman di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan hab Asia Pasifik Pusat European Wellness di Alam Mesra Kota Kinabalu dengan jumlah pelaburan kira-kira USD80 juta.
Dengan kemudahan yang disediakan, beliau berkata ini juga akan membantu Sabah memperoleh pasaran khusus dalam sektor pelancongan pendidikan kesihatan perubatan kerana ramai penyelidik sel stem dari seluruh dunia akan datang ke negeri ini untuk membuat penyelidikan dalam perubatan bio-regeneratif dan sains.
Chan, yang terkenal dalam industri perubatan bio-regeneratif di seluruh dunia telah menulis lebih daripada 50 buah buku dan memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Kepimpinan Keusahawanan Kesejahteraan Cina Sedunia dari China tahun lepas.
European Wellness yang diasaskan pada tahun 1991 mempunyai 46 hospital dan pusat di seluruh dunia termasuk di Jerman, Switzerland, Santorini Greece dan di seluruh Asia dengan rangkaian pelanggan yang luas.