KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa mengambil berat serta proaktif dalam memastikan rakyat negeri ini menerima bantuan daripada pelbagai pihak.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mengambil contoh agensi pendidikan utama negara-Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berperanan membantu pelajar yang memerlukan, khususnya mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Katanya, PTPTN telah mengambil pelbagai langkah dan inisiatif untuk membantu para pelajar bagi meringankan beban kewangan mereka.
“Antaranya menerusi Program PTPTN Prihatin: Jelajah Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2021 sempena Bulan Menabung Simpanan SSPN (BMS) 2021 bagi membantu meringankan beban golongan pelajar asnaf menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan zakat korporat.
“Kita berharap melalui usaha yang diambil ini akan memanfaatkan lebih ramai pelajar pada masa akan datang bagi memastikan peluang mereka menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi terjamin.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan rombongan di pejabatnya di Menara Kinabalu hari ini.
Di majlis itu Hajiji menerima mock cek sebanyak RM80,000 untuk membantu pelajar-pelajar asnaf di Sabah.
Hajiji berkata, menerusi pemberian sumbangan ini, ia akan memberi manfaat besar kepada pelajar di IPT serta mampu meringankan beban kewangan mereka disamping mampu memupuk kesedaran kepentingan menabung.
“Dengan usaha murni PTPTN dan nilai yang mereka cuba tanam dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menabung, saya menyeru kepada semua agensi Kerajaan negeri sekali gus menyokong mengadakan program lokasi bersesuaian di negeri ini,” katanya.