Hab PMKS Mudahkan Urusan Usahawan Di Sabah – Ewon

PENAMPANG : Orang ramai khususnya usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah kini boleh mengakses maklumat terkini berkaitan keusahawanan dan perniagaan secara fizikal dengan lebih mudah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Hab PMKS merupakan pusat maklumat sehenti bagi PMKS untuk memperoleh pengetahuan mengenai perniagaan.

Katanya, ia juga pusat mempelajari amalan terbaik perniagaan serta mendapatkan maklumat penting mengenai permulaan perniagaan, akses kepada pasaran, pembangunan modal insan, sumber kewangan, perkembangan terkini industri dan pelbagai aspek perniagaan yang lain.

“Hab ini menyediakan kaunter informasi, kiosk maklumat dengan akses internet, dewan bagi taklimat dan kursus keusahawanan serta ruang untuk PMKS mempamerkan produk dan perkhidmatan.

“Dengan keluasan keseluruhan 4,500 kaki persegi dan lokasi strategik di Donggongon Square, Hab PMKS Sabah menawarkan akses mudah kepada pengangkutan awam selain turut berhampiran dengan agensi lain seperti Bank Rakyat dan Tekun Nasional,” katanya di sini semalam.

Ewon berkata, Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus yang diteruskan pelaksanaannya pada tahun ini merupakan program khusus untuk perusahaan mikro di Sabah dan Sarawak terutamanya Bumiputera asal.

“BEEP Plus menawarkan bantuan geran padanan sehingga 70 peratus kos projek atau sehingga maksimum RM250,000.

 

”Ia meliputi perbelanjaan termasuk penambahbaikan pembungkusan produk, perolehan mesin dan peralatan, penerapan ICT & eDagang, sewaan dan pengubahsuaian premis perniagaan serta pelaksanaan aktiviti promosi untuk meningkatkan jualan dan penjenamaan,” jelas Ewon.

Menurutnya, Hab PMKS  diilhamkan ini, dibangunkan khusus untuk menyediakan kemudahan kepada komuniti perniagaan dan bakal usahawan Sabah, terutamanya di daerah Penampang.

“Hab ini akan menjadi pusat sehenti kepada PMKS untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor perniagaan dan maklumat mengenai program-program keusahawanan yang ditawarkan kerajaan.

“Pada 2024, sebanyak 10,035 PMKS telah mengunjungi Hab PMKS SME Corp. Malaysia secara fizikal, manakala 2,607 PMKS telah mengunjungi Hab PMKS sepanjang Januari hingga Mac 2025,” katanya.