KENINGAU: Semua pemain industri perkayuan di negeri ini untuk mentransformasikan industri itu dengan menggunapakai konsep Rantaian Nilai Ekonomi (EVC) yang mengintegrasikan kedua- dua sektor pengeluaran huluan dan hiliran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pemprosesan perhutanan huluan dan hiliran perhutanan merupakan sektor berdiri sendiri selama ini yang bermakna produk huluan tidak sepadan sepenuhnya dengan permintaan hiliran.
“Dengan konsep EVC, barisan pengeluaran ini akan bersepadu dan akan meningkatkan produktiviti pada skala yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata ini adalah lawatan kerja pertamanya ke kawasan konsesi SFMLA sejak beliau memegang jawatan itu untuk melihat kemajuan fizikal inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor perhutanan iaitu Transformasi Ladang Hutan melalui Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022-2036) yang dilancarkan pada 22 Mac lalu.
Melalui Pelan Tindakan itu, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk membangunkan 400,000 hektar ladang hutan dalam kawasan Hutan Simpan Komersial menjelang 2036.
“Strategi pembangunan ladang hutan ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan sektor industri perkayuan hiliran daripada sumber bekalan bahan mentah keluaran hutan asli dan dalam masa sama mengekalkan daya saing sektor ini pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata antara enam hingga lapan juta meter padu bekalan balak dijangka melalui penuaian 40,000 hektar ladang hutan setiap tahun.
“Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan mampan kepada industri perkayuan dan berpotensi menyumbang kira-kira RM11.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah, menyediakan 40,000 pekerjaan, dan mengembangkan lagi sektor pemprosesan kayu,” katanya.