Guna duit Yayasan Akalbudi berbelanja di butik terkemuka

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya berbelanja di butik terkemuka di seluruh dunia dengan kad kredit yang dibayar menggunakan duit Yayasan Akalbudi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berhujah bahawa sebanyak RM1.3 juta dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk membayar perbelanjaan kad kredit di butik Giorgio Armani, Louis Vuitton or Hermes oleh Ahmad Zahid dan Datin Seri Hamidah binti Khamis

Ketika berhujah mengenai perbelanjaan Ahmad Zahid, Raja Rozela mempersoalkan sama ada Ahmad Zahid dan isteri ada memikirkan mengenai keadaan masyarakat miskin di negara ini ketika berbelanja di butik berkenaan.

“Perbelanjaan tertuduh dan isteri bukan isu dalam kes ini. Namun, ia membuatkan kita tertanya-tanya, sama ada mereka memikirkan nasib rakyat miskin, …kami sangat meragui perkara itu,” katanya dalam laporan Berita Harian hari ini.

Raja Rozela berhujah demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.